Pada usia 11 tahun lagi, Ali Hassan sudah berjinak-jinak dalam bidang perniagaan menjual aiskrim yang dibuat ibunya. Hari ini, kesungguhannya dalam bidang perniagaan berbayar dengan sebuah empayar bernama aL-ikhsaN.
BAKAL menyambut hari ulang tahun ke-39 tahun lima hari lagi, lelaki yang masih muda ini bukan calang-calang ahli perniagaan.
Memupuk minat bisnes sejak kecil dengan prinsip hidup yang kuat berpegang kepada ajaran Islam, hari ini sebanyak 59 buah butik aL-ikhsaN di seluruh negara wujud dan menjadi bukti sebuah empayar perniagaan hebat miliknya.
Beliau adalah Ali Hassan Mohd. Hassan, pemilik rangkaian al-ikhsaN yang berkembang maju dalam tempoh 14 tahun.
Rangkaian kedai aL-ikhsaN bukan asing lagi dalam kalangan anak muda hari ini yang menggemari produk sukan berjenama popular seperti Nike, Adidas, Puma, Reebok, Umbro, Lotto dan Diadora pada harga yang murah.
Kejayaan mengembangkan kedai aL-ikhsaN sekali gus menghakis kritikan bahawa usahawan Melayu sering gagal dalam perniagaan serta menepis stereotaip bahawa orang Melayu sebagai malas dan layu.
Mercu tanda kejayaan empayar al-ikhsaN di seluruh negara sebenarnya bermula dengan urusan jual beli baju sukan berasaskan modal kecil dengan kelompok pelanggan yang tidak besar.
Ali Hassan menceritakan produknya pada masa itu hanya dijual kepada rakan-rakan dan pensyarah beliau sewaktu menuntut di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, Johor.
"Masa menuntut di universiti dulu, saya akan beli satu dan jual satu. Ketika itu, jualan kecil dan modal juga kecil. Jualan dibuat kepada rakan-rakan satu universiti dan juga pensyarah saya.
"Sewaktu di UTM, saya juga bekerja sambilan sebagai penghantar piza untuk menampung perbelanjaan pengajian dan sara hidup," katanya yang berkelulusan Diploma Kejuruteraan Mekanikal UTM pada tahun 1993.
Ketika ditanya mengenai biasiswa yang diterimanya, beliau berkata: "Memang saya ada terima biasiswa tetapi saya berikan semua kepada ibu kerana kami bukan orang senang."
Beliau yang merupakan pelajar cemerlang pernah ditawarkan peluang untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara tetapi ditolak kerana lebih cenderung untuk mengusahakan perniagaan.
Bercerita lanjut mengenai kebangkitan aL-ikhsaN, Ali Hassan memberitahu perniagaan pertamanya bermula di ruang sempit di Holiday Plaza, Johor Bahru dengan modal perniagaan yang diusahakan dengan titik peluhnya sendiri.
"Ketika itu, memang sukar untuk mendapatkan pinjaman daripada institusi kewangan kerana saiz perniagaan ini kecil. Itu bukan alasan untuk tidak berjaya. Saya kena rajin dan kuat berusaha dengan menjual baju sukan secara pantas.
"Dapat sahaja barang hari ini, jual secepat mungkin. Cari peluang yang ada di mana sahaja asalkan boleh dijual," katanya yang pernah naik turun pejabat kerajaan dan syarikat swasta bagi memperoleh tempahan dan memasarkan barangannya.
Beliau mula mengusahakan perniagaan serius pada tahun 1994 apabila mendapati wujud trend permintaan terhadap barangan sukan yang amat menggalakkan.
"Mulanya, saya berniaga kerana mempunyai minat mendalam terhadap sukan bola sepak tetapi kemudian ia menjadi lebih serius kerana pada ketika itu agak sukar untuk mendapatkan barangan sukan," katanya yang merupakan anak bongsu daripada lapan adik-beradik.
Sambil meninjau susunan peragaan barang jualannya, beliau menyatakan dalam menjayakan sesuatu perniagaan, beberapa elemen penting perlu ada, antaranya kesabaran, kesungguhan, tiada perasaan malu serta tekun berusaha.
"Walaupun kita gagal sekali atau sukar mendapatkan pinjaman bank, kita kena istiqamah dan terus buat sahaja. Jangan fikir apa-apa, usahakan apa yang ada.
"Ini penting untuk kita bina reputasi walaupun mengambil masa satu atau dua tahun. Bila orang melihat reputasi kita yang semakin baik, barulah mereka akan percaya.
"Apa sahaja kita kena sabar.... perbaiki apa kelemahan yang ada. Jangan malu bertanya kepada pelanggan apa yang mereka tidak puas hati. Biar mereka 'komplen'," katanya yang berpendapat ia merupakan antara langkah untuk memajukan perniagaan ke tahap yang lebih baik lagi.
"Saya masih ingat lagi luahan pelanggan kerana barangan yang dipamerkan di kedai pertama sedikit dan banyak kekurangan. Itu tidak ada...ini tidak ada. Jadi, saya berusaha mendapatkan barangan yang mereka mahukan kerana ingin memuaskan hati pelanggan.
"Ambil sahaja apa 'komplen' pelanggan dan jangan kita tafsirkan pendapat atau kritikan yang diberikan itu sebagai negatif. Itu tanda mereka sayang kepada kita dan mahu melihat perniagaan kita berkembang," katanya.
Resipi kejayaan selama ini yang didukung dalam diri Ali Hassan sebenarnya berpaksikan sepenuhnya kepada tuntutan dalam agama Islam.
"Formula aL-ikhsaN dari dulu sehingga sekarang adalah jangan kita meninggalkan solat lima waktu, jaga ibu bapa kita sebaik mungkin, tunaikan zakat dan berikan sedekah dan bantu mereka yang susah.
Beliau menyerah semuanya kepada kekuasaaan Allah dan mempercayai sekiranya melakukan sesuatu perkara kerana Allah semata-mata, kesannya amat berbeza.
"Dari sini keajaiban akan berlaku dengan izin Allah. Kita kena yakin dengan janji Allah, iaitu siapa yang ikut perintah-Nya... kemenangan dan kejayaan akan diberikan di dunia dan akhirat. Mula-mula nampak susah tetapi sekarang semua keajaiban itu menunjukkan hasil. Inilah isi kejayaan yang sebenar," jelasnya.
Selain pegangan kukuh pada tuntutan agama, senjata aL-ikhsaN yang sentiasa berada selangkah di hadapan pesaing adalah harga produk sukan dijual amat berpatutan bagi semua lapisan masyarakat.
"Apa yang paling penting ialah aL-ikhsaN memberikan produk-produk berkualiti dan berjenama antarabangsa dengan harga yang cukup berpatutan. Ini memberikan kepuasan kepada pembeli, sekali pakai mereka akan kembali lagi.
"Kebanyakan produk yang ada di aL-ikhsaN tidak terdapat di kedai-kedai lain. Pilihan produk juga luas dan dijual pada harga berpatutan. Model kasut sukan dan peralatan lain yang dipakai oleh pemain bola antarabangsa terkenal juga terdapat di kedai ini.
"Malah, setiap barang yang dilancarkan di Eropah boleh didapati di sini pada hari yang sama," tambah beliau.
aL-ikhsaN Sport turut menyediakan kelengkapan sukan bertaraf antarabangsa yang mana produk yang ditawarkan adalah eksklusif dan berkait rapat dengan arena sukan dunia seperti Liga Bola Sepak England, Piala Eropah (Euro), Formula Satu (F1), Sukan Olimpik Beijing serta Piala Dunia 2010.
Berhubung kesukaran dalam perniagaan yang dialami, beliau berkata, mengekalkan pekerja dalam industri peruncitan merupakan perkara utama memandangkan pemilihan kerjaya pekerja dalam industri tersebut masih lemah.
"Turnover staf adalah tinggi dalam industri peruncitan tetapi kami di aL-ikhsaN masih bagus lagi kerana kami memberikan pakej yang terbaik seperti motivasi dan latihan di ibu pejabat kami di Johor," katanya.
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0704&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm#.UX0_cmeT-d4.blogger#ixzz2ZbIDHtvO
Hakcipta terpelihara
No comments:
Post a Comment